14 September, 2012
PELIHARA KUCING, HINDARI DOSA
Dalam isu kali ini, penulis hanya memfokuskan perbuatan yang boleh mengganggu atau menyusahkan jiran iaitu memelihara kucing. Hukum memelihara kucing adalah harus. Walau bagaimanapun, ada situasi yang menyebabkan individu yang memelihara kucing berdosa apabila tidak menunaikan "nafkah zahir dan batin" kucing peliharaannya. Ia seperti keperluan makan, minum, tempat tinggal dan segala yang berkaitan dengan naluri haiwan. Tidak cukup dengan itu, dosanya bertambah apabila menganggu ketenteraman hidup jiran. Maka, dibimbangi dia tergolong dalam kalangan manusia yang dinafikan kesempurnaan imannya.

Menjadikan kucing peliharaan kita menjadikan pasu-pasu bunga jiran atau halaman rumah sebagai "tandas rasmi" adalah satu dosa besar. Membiarkan kucing peliharaan kita bebas keluar dan masuk ke rumah jiran "tanpa izin" sehingga menyebabkan jiran terganggu juga satu dosa besar. Bahkan, membasuh najis kucing sehingga airnya mengalir ke halaman rumah jiran dan mendatangkan bau yang tidak menyenangkan juga termasuk dalam perbuatan menyusahkan jiran.

Ada kalanya terdapat seseorang yang tidak pun memelihara kucing, tetapi dia teramat gemar memberi makanan kepada kucing-kucing liar, sehingga menyebabkan banyak kucing liar "berkampung" di sekitar rumah-rumah jiran, juga dianggap satu dosa sekiranya menyebabkan ketenteraman jiran terganggu.

Di akhirat nanti, kucing tidak akan dipertanggungjawabkan memikul dosa-dosa ini, tetapi manusia yang melakukan perbuatan inilah yang bakal menanggung segalanya. Kucing tidak mukalaf kerana tidak berakal, tetapi amat malang apabila tuan kepada kucing tersebut yang merupakan seorang manusia berakal tetapi tidak menggunakan akalnya untuk berwaspada terhadap amaran Rasulullah s.a.w. akibat perbuatan menyusahkan jiran.

Namun artikel ini bukan menjelaskan bahawa haram memelihara kucing, bahkan ia merupakan hobi atau minat yang sangat mulia. Penulis hanya ingin mengingatkan diri sendiri dan pembaca agar sentiasa peka dengan pesanan-pesanan Rasullullah s.a.w.
(Rujukan hadis oleh Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang- Solusi isu no.44)

0 comments:

Post a Comment