18 June, 2012
Assalamualaikum.....
Di dalam majalah solusi isu no. 44 "Amar Makruf Nahi Mungkar" saya tertarik di ruangan fiqah amali yang bertanyakan soalan 'Sanggul Bonggol Unta'. Sama-sama kita hayati dan memperbaiki apa yang tersilap selama ini.
Pertanyaan: Wanita sentiasa suka mengikut perkembangan semasa dalam  berhias sehingga tanpa sedar mengorbankan agama sendiri. Budaya sanggul tinggi walaupun bertudung, sudah digemari ramai wanita islam. Dalam kalangan ustaz pun terdapat perbezaan pendapat. Semoga pihak ustaz dapat membantu menguraikan kekeliruan ini.

Jawapan: Merujuk kaedah fiqah "hukum asal sesuatu perkara adalah harus", maka harus selagi tiada unsur yang bertentangan dengan syariat dilakukan.
Trend sanggul tinggi ini mula digemari masyarakat kita kebelakangan ini. Tidak dinafikan terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ilmuwan islam berkenaan masalah ini. Kembali kepada kaedah fiqah di atas, maka keharusan sanggul ini dibolehkan kepada Muslimah dengan syarat tidak berniat untuk menarik perhatian lelaki ajnabi seterusnya boleh menimbulkan syahwat terutamanya lelaki yang lemah iman dan ditimpa penyakit hati. Bersanggullah setinggi mana sekalipun, tetapi biarlah untuk suami tersayang, ketika bersama mahram dan wanita atau di tempat tertutup yang tiada lelaki ajnabi.
Mafhum sabda Baginda s.a.w.: Kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta yang senget. Mereka ini tidak akan dapat memasuki syurga dan tidak akan mencium baunya kerana bau syurga dapat dicium dari jarak perjalanan sekian jauh." (Riwayat Muslim no. 2128).  Menurut Imam al-Nawawi dalam kitabnya Sharh Sahih Muslim, makna "kepala-kepala mereka umpama bonggol-bonggol unta" ialah mereka membesarkan rambut di kepala mereka dengan melilitnya dengan kain serban, kain-kain lilitan yang lain atau seumpamanya. 
Sehubungan dengan itu, disarankan kepada mereka yang berambut panjang agar membuat sanggul pada paras leher, mengikat atau dibiarkan lepas disebalik tudung. Jika tidak mahu, mungkin boleh dipotong sedikit agar kurang panjangnya.
Sesungguhnya wanita yang paling selamat dunia dan akhirat ialah wanita yang bertakwa dalam urusan agamanya. Sungguh, kita amat memuji kesungguhan sebahagian Muslimah yang tidak terkesan dengan trend fesyen tudung dan pakaian terkini, yang menutup aurat tetapi masih menarik perhatian lelaki ajnabi.
Wanita muslimah yang bertakwa akan istiqamah mematuhi syariat dan menutup fitnah. Beruntunglah bapa atau suami yang memiliki anak perempuan atau isteri yang taat kepada Allah, Rasul dan suami. Harta yang paling berharga di dunia ialah wanita yang solehah. Tahniah buat Muslimah Sejati.

0 comments:

Post a Comment